Sujud Tilawah

Posted by SGZ 0 comments

Perkataan tilawah di sini bererti bacaan. Sujud tilawah bermaksud sujud yang dilakukan apabila kita membaca ayat-ayat tertentu di dalam Al-Quran. Sujud tilawah juga dipanggil dengan nama sujud sajadah. Sujud tilawah terbahagi kepada dua jenis iaitu sujud tilawah di dalam solat dan sujud tilawah di luar solat.

Hukum sujud tilawah adalah sunat. Di dalam solat, sekiranya sujud tilawah dilakukan sebelum atau bukan pada ayat sujud tilawah, maka batal solat tersebut. Di dalam solat jemaah, sekiranya imam melakukan sujud tilawah, makmum wajib turut melakukan sujud tilawah. Batal solat makmum sekiranya makmum tidak turut sujud tilawah. Namun jika dalam solat jemaah, imam tidak melakukannya, maka makmum tidak perlu sujud tilawah kerana makmum wajib selalu menyesuaikan gerakannya dengan imam iaitu tidak boleh melakukan gerakan yang tidak dilakukan oleh imam.

Ayat-ayat Al-Quran yang disunatkan sujud tilawah padanya ada 15 tempat. Di dalam Al-Quran, ayat-ayat ini diberikan tanda kubah masjid atau ditulis perkataan sajadah. Ayat-ayat sujud tilawah ialah:

  1. Al-A’raf, ayat 206

Maksudnya:
Sesungguhnya mereka (malaikat) yang ada di sisi Tuhanmu tidak bersikap angkuh (ingkar) daripada beribadat kepadaNya, dan mereka pula bertasbih bagiNya, dan kepadaNyalah jua mereka sujud.

  1. Ar-R’ad, ayat 15

Maksudnya:
Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang.

  1. An-Nahl, ayat 50

Maksudnya:
Mereka takut kepada Tuhan mereka yang mengatasi mereka (dengan kekuasaanNya), serta mereka mengerjakan apa yang diperintahkan.

  1. Al-Isra’, ayat 109

Maksudnya:
Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil menangis, sedang Al-Quran menambahkan mereka khusyuk.

  1. Maryam, ayat 58

Maksudnya:
Mereka itulah sebahagian dari Nabi-nabi yang telah dikurniakan Allah nikmat yang melimpah-limpah kepada mereka dari keturunan Nabi Adam, dan dari keturunan orang-orang yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh, dan dari keturunan Nabi Ibrahim, dan (dari keturunan) Israil- dan mereka itu adalah dari orang-orang yang Kami beri hidayah petunjuk dan Kami pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis.

  1. Al-Hajj, ayat 18

Maksudnya:
Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan (di antaranya termasuklah) matahari dan bulan, dan bintang-bintang, dan gunung-ganang, dan pokok-pokok kayu, dan binatang-binatang, serta sebahagian besar dari manusia? Dan banyak pula (di antara manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufurannya dan maksiatnya); dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka ia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkanNya.

  1. Al-Hajj, ayat 77

Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).

  1. Al-Furqan, ayat 60

Maksudnya:
Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang musyrik itu): "Sujudlah kamu kepada Ar-Rahman (Tuhan Yang Maha Pemurah)!" Mereka bertanya: "Dan siapakah Ar-Rahman itu? Patutkah kami sujud kepada apa sahaja yang engkau perintahkan kami?" Dan perintah yang demikian, menjadikan mereka bertambah liar ingkar.

  1. An-Naml, ayat 26

Maksudnya:
"Allah! - Tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar ".

  1. As-Sajdah, ayat 15

Maksudnya:
Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur.

  1. Saad, ayat 24

Maksudnya:
Nabi Daud berkata: " Sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepadamu dengan meminta kambingmu itu (sebagai tambahan) kepada kambing-kambingnya; dan sesungguhnya kebanyakan dari orang-orang yang bergaul dan berhubungan (dalam berbagai-bagai lapangan hidup), setengahnya berlaku zalim kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh; sedang mereka amatlah sedikit!" Dan Nabi Daud (setelah berfikir sejurus), mengetahui sebenarnya Kami telah mengujinya (dengan peristiwa itu), lalu ia memohon ampun kepada Tuhannya sambil merebahkan dirinya sujud, serta ia rujuk kembali (bertaubat).

  1. Fussilat, ayat 38

Maksudnya:
Oleh itu, kalau mereka tetap ingkar dengan angkuhnya (daripada mematuhi perintah Allah dan mengesakanNya, maka tidaklah menjejaskan kebesaran Tuhan), kerana malaikat-malaikat yang ada di sisi Tuhanmu tetap bertasbih kepadaNya pada waktu malam dan siang, dengan tidak mereka merasa jemu.

  1. An-Najm, ayat 62

Maksudnya:
Oleh yang demikian, hendaklah kamu sujud kepada Allah (yang telah menurunkan Al-Quran itu), dan beribadatlah kamu kepadaNya (dengan sepenuh-penuh tauhid).

  1. Al-Insyiqaq, ayat 21

Maksudnya:
Dan (apakah pula alasannya) apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka tidak mahu taat dan sujud?

  1. Al-’Alaq, ayat 19

Maksudnya:
Ingatlah! Janganlah engkau (wahai Muhammad) menurut kehendaknya, dan (sebaliknya) sujudlah dan dampingkanlah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal soleh)!

Cara-cara melakukan sujud tilawah di dalam solat ialah apabila selesai membaca ayat Al-Quran yang disunatkan sujud tilawah padanya, maka disunatkan terus sujud dan membaca tasbih sujud tilawah. Seterusnya kembali semula berdiri tanpa perlu mengangkat tangan dan meneruskan bacaan sambungan ayat Al-Quran tadi.

Cara melakukan sujud tilawah di luar solat pula ialah dengan mengangkat tangan sambil bertakbir dan terus sujud dan membaca tasbih sujud tilawah. Kemudian kembali duduk dan memberi salam. Bacaan tasbih ketika sujud tilawah ialah:


Maksudnya:
Aku sujudkan wajahku ini kepada Allah yang menciptanya dan membentuk rupanya, yang membuka pendengarannya dan penglihatannya dengan kekuasaanNya dan kudratNya. Maha Suci Allah, Dialah sebaik-baik pencipta kejadian.

Syarat Sah Shalat

Posted by SGZ 0 comments
Syarat sah solat sebagaimana berikut:

  1. Beragama Islam
  2. Baligh
  3. Suci daripada hadas.
  4. Suci seluruh anggota badan, pakaian dan tempat.
  5. Menutup aurat. Aurat bagi wanita, seluruh tubuhnya kecuali muka dan kedua tapak tangannya. Sedangkan aurat bagi laki-laki ialah antara pusat dan lutut.
  6. Telah masuk waktu solat yang telah ditentukan.
  7. Menghadap ke arah Kiblat.
  8. Mengetahui mana yang termasuk rukun dan mana yang sunat.

Waktu Haram Shalat

Posted by SGZ 0 comments
Sebahagian As-Sayafieah mengiktibar sebagai (waktu-waktu yang dimakruhkan untuk solat) iaitu tegahan karahah tahrim. Karahah tahrim adalah apa yang di sabitkan haramnya itu dengan dalil yang ihtimal* dan perlu kepada takwil**. Waktu yang diharamkan untuk solat ada lima: tiga berhubung dengan waktu dan dua berhubung dengan perbuatan.

Waktu waktu yang diharamkan solat yang berhubung dengan waktu:

  1. Dari terbit matahari sehingga tegak dengan kadar tombak dengan pandangan mata iaitu bersamaan 16 minit (dalam tempoh 16 minit setelah matahari terbit). Kadar tombak adalah 4 darjah, satu darjah bersamaan 4 minit.
  2. Dari istiwa (pembahagi dua) matahari sehingga zawal (gelincir). Tempohnya terlalu singkat, diharamkan solat ketika ini. Istiwa bermaksud matahari berada di tengah-tengah langit. Zawal bermaksud condongan matahari di tengah-tengah langit.
  3. Dari langit kelihatan kekuning-kuningan sehingga maghrib.
Waktu-waktu yang diharamkan untuk solat yang berhubung dengan perbuatan:
  1. Selepas melaksanakan solat fardu Subuh sehingga terbit matahari.
  2. Selepas melaksanakan solat fardu Asar sehingga terbenam matahari.
Solat-solat yang diharamkan pada waktu yang diharamkan untuk solat (waktu yang lima) terbahagi kepada dua:
  1. Solat-solat sunat kerana sabab muta'akhkhir (sebab terkemudian). Ia terbahagi kepada enam: solat sunat Ihram, solat sunat istikharah, solat sunat keluar dari rumah, solat sunat musafir, solat sunat Qatl, dan solat sunat hajat.
  2. Solat sunat mutlak, iaitu solat yang tanpa sebab dan tiada waktunya seperti solat tasbih dan sebagainya yang tiada waktu yang khusus untuk melaksanakannya.
Waktu-waktu yang terkecuali daripada waktu yang haram iaitu berhubung dengan tempat dan waktu:
  1. Tempat: Tanah Haram Mekah, iaitu di dalam Masjidil Haram dan kawasan-kawasan Tanah Haram di Mekah, maka dibolehkan solat di kawasan ini pada bila-bila waktu tanpa ada waktu yang diharamkan.
  2. Waktu: Dari waktu istiwa sehingga zawal pada hari Jumaat.
Tidak diharamkan untuk melaksanakan qada solat pada waktu-waktu yang diharamkan untuk solat. Boleh melaksanakan qada solat pada bila-bila waktu tanpa ada waktu tahrim. Begitu juga dengan solat-solat sunat kerana sabab mutaqaddim (sebab terdahulu) seperti solat sunat wuduk dan solat sunat tahiyyatul masjid, ataupun kerana sabab muqaran (sebab bergandingan) seperti solat gerhana matahari dan bulan.

Hukum solat ketika khutbah Jumaat - Apabila khatib sedang berkhutbah di atas mimbar, maka diharamkan untuk solat walaupun solat itu adalah solat qada kecuali solat sunat tahiyyatul masjid dan diwajibkan untuk meringankan (mempercepatkan) solat tahiyyatul masjid itu dan tidak boleh menambah dua rakaat lagi selain daripada solat tahiyyatul masjid yang tadi.

*Ihtimal bermaksud menyuruh membawa berkenaan barang, surat, perintah, dan lain-lain (sumber: Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia).

**Takwil bermaksud keterangan atau penjelasan mengenai sesuatu; tafsir (sumber: Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia).

Sumber: Portal Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur